Halaman

Selasa, 7 Disember 2010

fatwa dan "KITA"

Usaha-Usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. Dan Lain-Lain Syarikat

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-75 yang bersidang pada 12 September 2006 telah membincangkan Usaha-Usaha Menghidupkan Semula Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. Dan Lain-Lain Syarikat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

i. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ajaran dan pegangan yang dibawa dan disebarkan oleh ahli jamaah Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd.(SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya mengandungi fahaman-fahaman yang menyamai Kumpulan al-Arqam yang telah diharamkan. Ahli jamaah SRC juga didapati mengamalkan ajaran dan pegangan baru yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam. Penyelewenganpenyelewengan tersebut adalah seperti berikut:

a) Kesalahan Yang Bercanggah Dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah adalah berdasarkan kepercayaan bahawa -

i. Haji Ashaari bin Muhammad adalah Sahibul Zaman (Mujaddid), manakala Sheikh Muhammad al-Suhaimi pula sebagai Imam Mahdi.

ii. Haji Ashaari bin Muhammad mempunyai kelebihan meramal dan mengetahui perkara yang akan berlaku pada masa hadapan. Setiap ramalan tersebut dianggap oleh ahli jamaah SRC sebagai sebahagian daripada jadual Tuhan untuk memberi kemenangan kepada mereka.

iii. Haji Ashaari bin Muhammad mendapat ilmu secara langsung daripada Sheikh Muhammad al-Suhaimi dan Rasulullah s.a.w. berkenaan perkara yang akan berlaku pada masa hadapan.

iv. Mujaddid atau Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad) mendapat ilmu terus dari Allah (ilham, ilmu ladunni atau kasyaf) yang meliputi soal agama, dunia, hal ehwal semasa, pemerintahan, bina insan dan lain-lain. Ilham dari Tuhan Ilham dari Tuhan datang kepadanya seperti air sungai yang mengalir.

v. Ahli jamaah yang banyak menghayati minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) dan dapat pula melaksanakannya adalah orang yang paling kuat hubungan mental dengan Abuya.

vi. Minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) itu sebenarnya adalah wahyu dari Tuhan. Bagaimanapun, wahyu yang Bagaimanapun, wahyu yang diturunkan kepada Abuya adalah 1/46 daripada kenabian.

vii. Allah hendak mengangkat kembali Islam di akhir zaman dengan menghantar Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad),Imam Mahdi (Sheikh Muhammad al-Suhaimi) dan Nabi Isa a.s. yang telah tersedia oleh Allah untuk melaksanakan jadual Tuhan.

viii. Minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) difahami sebagai intisari Quran dan hadith dan Abuya adalah orang Tuhan yang berupaya menyampaikan intisari tersebut kepada pengikutnya untuk diamalkan. Dengan itu, tidak perlu lagi merujuk kepada Dengan itu, tidak perlu lagi merujuk kepada Quran dan Hadith kerana minda sudah lengkap.

ix. Perjuangan ahli jamaah SRC dibantu dan dilindungi oleh para Rijal Ghaib yang terdiri daripada para malaikat, jin Islam dan roh-roh muqaddas (roh suci para ahli jamaah yang telah meninggal dunia).

x. Bertawassul kepada Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) ketika menghadapi sesuatu kesulitan atau kecemasan, Abuya akan menghantar bantuan samaada menggunakan jin Islam atau dengan karamahnya.

xi. Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) adalah manusia yang hebat. Malahan, lebih hebat daripada kita mempunyai 10 orang ibu dan ayah kerana menurut mereka hubungan dengan ibu bapa hanya terbatas di dunia sedangkan hubungan dengan Abuya kekal sehingga ke akhirat.

xii. Allah akan memberitahu Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) tentang musibah sakit yang dialami oleh ahli jamaah SRC. Sekiranya sakit tersebut tidak tertanggung oleh ahli jamaah, Abuya boleh meminta agar Allah meringankan derita pada kadar yang mampu ditanggung oleh ahli jamaah.

xiii. Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) mempunyai kelebihan untuk menangguhkan ajal sekiranya ahli jamaah yang sampai ajal itu masih banyak dosa.

xiv. Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) boleh meminta Allah menggantikan ajal kepada ahli jamaah lain yang telah sempurna iman dan taqwa.xv. Sewaktu ahli jamaah sedang nazak, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) akan hadir dan berada di sebelah kanan kepala dengan mengajarkan talkin. Dengan itu, syaitan tidak akan Dengan itu, syaitan tidak akan menyesatkan ahli jamaah berkenaan.

xvi. Sewaktu ahli jemaah sedang disoal oleh malaikat di alam kubur, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) akan datang menemani dan menjawab soalan malaikat bagi pihak ahli jamaah. Dengan itu, ahli jamaah berkenaan terlepas seksaan kubur.

xvii. Sewaktu di padang mahsyar, Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) menunggu-nunggu untuk memberikan syafaat kepada para pengikutnya.

b) Kesalahan Yang Bercanggah Dengan Syariah Islamiyyah adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa –

i. Ibadat sembahyang Jumaat pada mereka adalah tidak wajib kerana kerajaan yang ada sekarang bukan kerajaan Imam Mahdi. Apabila Imam Mahdi muncul dan membentuk kerajaan barulah ibadat sembahyang Jumaat menjadi wajib.

ii. Sahibul Zaman (Haji Ashaari bin Muhammad) tidak memerlukan kitab dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ilmunya datang terus dari Allah dalam bentuk ilham.

iii. Orang yang berjuang dengan mempunyai minda Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) adalah lebih tinggi pahala dan darjatnya jika dibandingkan dengan mereka yang tidak mempunyai minda Abuya dalam perjuangan.

iv. Seorang ahli ibadah (‘Abid) hanya mampu menjadi hamba biasa kerana tidak mempunyai minda setaraf dengan wahyu dan tidak boleh menjadi khalifah.

v. Quranyangadasekaranghanyatinggalmashafdanlafazsahaja. v. Quran yang ada sekarang hanya tinggal mashaf dan lafaz sahaja. Roh Quran telah ditarik balik oleh Tuhan dan hanya diberikan kepada mujaddid (Haji Ashaari bin Muhammad).

vi. Sembahyang sehari semalaman hanya tiga waktu sahajaiaitu Subuh, sembahyang jamak Zohor dan Asar serta jamak Maghrib dan Isyak.

vii. Segala amalan baik di dunia tidak dapat menandingi amalan pengikut Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad) walaupun seseorang itu bersembahyang, berpuasa dan berpuluh kali menunaikan ibadat haji.

viii. Duduk semajlis dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhamad) pahalanya lebih tinggi daripada mengerjakan sembahyang selama 40 tahun atau sembahyang tahjud sepanjang hayat.

ix. Beramal dengan Aurad Muhammadiah sebagai satu cara untuk menjaga hubungan hati atau rohani dengan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad). Dengan mengamalkan Aurad Muhammadiah, ahli jamaah akan sentiasa dipantau dan dibimbing secara rohaniah oleh Abuya.

x. Amalan Aurad Muhammadiah akan terbatal sekiranya ahli jamaah melakukan dosa besar, tidak mengamalkannya tujuh hari berturut-turut, tidak taat dan yakin serta mengaibkan Abuya (Haji Ashaari bin Muhammad).

xi. Mengamalkan zikir agung ( ) yang terkandung di dalamnya unsur tawassul, menyeru roh orang yang telah mati serta mendakwa bahawa al-Sheikh Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi sebagai Imam Mahdi.

c). Kesalahan Yang Bercanggah Dengan Akhlak Dan Etika Bermasyarakat adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa-

i. Ulama yang ada sekarang adalah ulama kitab atau ulama hafalan yang bergantung kepada kitab dan hafalan untuk mengajar. Manakala Sahibul Zaman pula, ilmunya datang Manakala Sahibul Zaman pula, ilmunya datang terus dari Tuhan.

ii. Orang yang menuntut ilmu agama sehingga ke peringkat Ph.D adalah tidak bermanfaat kerana ilmu yang dituntut itu bersumberkan kitab lama dan ketinggalan zaman.iii. Ilmu para ulama sekarang dengan mendakwa ilmu mereka tidak setanding dengan ilmu orang Tuhan (Haji Ashaari bin Muhammad).

iv. Allah melarang ulama yang berwatak Nabi berjuang melainkan iv. Allah melarang ulama yang berwatak Nabi berjuang melainkan setelah munculnya mujaddid yang berwatak Rasul.

ii. Berdasarkan kepada penyelewengan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah bersetuju memutuskan bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa dan dipegang oleh jamaah Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

iii. Oleh yang demikian, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengambil keputusan bahawa:

a. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

b. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang menjadi ahli jamaah atau pengikut Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya dengan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian, perubatan, pembinaan, pertanian, perladangan, telekomunikasi atau apa-apa aktiviti lain yang berhubungkait dengan SRC dan apa-apa ajaran yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman kumpulan Al-Arqam adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

c. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali ajaran dan fahaman Kumpulan al-Arqam samadamelalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC), rangkaian syarikat gabungannya atau mana-mana pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Al-Arqam adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang menyeleweng daripada ajaran Islam.

d. Mana-mana orang Islam secara individu atau berkumpulan melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang disebut di dalam sub perenggan iii( a), (b), (c) adalah mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

e. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan Al-Arqam dan ajaran, pegangan atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Al-Arqam dan ahli jamaah SRC adalah bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng daripada ajaran Islam; atau

f. Apa-apa jua bahan publisiti yang menonjolkan ajaran Kumpulan Al-Arqam dan ajaran, pegangan atau fahaman ahli jamaah SRC atau apa-apa ajaran, pegangan atau fahaman kumpulan baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman Kumpulan Al-Arqam dan ahli jamaah SRC dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan adalah diharamkan.

fatwa dan "KITA"

Penggunaan Jin Menurut Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 September 1995 telah membincangkan Penggunaan Jin Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perkara-perkara yang ditegah oleh syarak adalah haram.
  2. Meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik adalah haram.
  3. Meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan adalah haram.
  4. Meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum adalah haram.

fatwa dan "KITA"

Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Pameran Jin, Hantu Dan Keranda, Pameran Alam Misteri Serta Yang Berkaitan Dengannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa pameran jin, hantu dan keranda serta alam misteri adalah ditegah oleh Islam kerana ia boleh mendatangkan mudharat pada akidah umat Islam. Manusia tidak dapat mencapai hakikat sebenar alam misteri, jin, hantu dan umat Islam tidak perlu dididik dengan perkara-perkara khurafat dan tahyul seumpama ini.

fatwa dan "KITA"

Hukum Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 -27 Julai 2006 telah membincangkan Hukum Meminta Orang Bukan Islam Sama-Sama Berdoa Mengikut Anutan Masing-Masing Dalam Satu Majlis Yang Dihadiri Oleh Penganut Pelbagai Agama. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Doa tergolong di dalam perkara ibadah kepada Allah SWT dan ia hendaklah dilakukan sebagai suatu acara yang tidak bertentangan dengan roh ibadah dan rasa tawaduk kepada Allah SWT kerana bagi orang Islam memohon dan mendoakan sesuatu hanya kepada Allah SWT sahaja.
  2. Oleh itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam tidak harus meminta atau mengarahkan orang bukan Islam berdoa mengikut agama mereka masing-masing. Walaubagaimanapun, jika mereka berdoa atau memohon sesuatu mengikut ajaran mereka dengan kehendak mereka sendiri tanpa diarahkan, perbuatan tersebut tidak dilarang.

fatwa dan "KITA"

Kedudukan Air Musoffa

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-72 yang bersidang pada 23 Jan 2006 telah membincangkan Kedudukan Air Musoffa. Muzakarah telah memutuskan bahawa penjualan air musoffa secara komersial adalah dilarang kerana ia boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah, kepercayaan khurafat dan penipuan.

Khamis, 2 Disember 2010

fatwa dan "KITA"

Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6 - 8 September 2007 telah membincangkan Amalan Kebatinan Dalam Persembahan Kesenian Tradisional Masyarakat Melayu. Muzakarah telah memutuskan bahawa amalan-amalan kebudayaan dan keseniaan tradisional yang mengandungi unsur-unsur mistik dan kebatinan, tahyul serta khurafat adalah ditegah oleh ajaran Islam kerana ia boleh menjejaskan akidah umat Islam.

fatwa dan "KITA"

Cadangan Melaksanakan Pembangunan Di Atas Tanah Kubur Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Cadangan Melaksanakan Pembangunan Di Atas Tanah Kubur Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melaksanakan pembangunan di atas tanah-tanah perkuburan Islam yang telah tidak digunakan untuk mengebumikan mayat adalah diharuskan oleh Islam dengan syarat pembangunan yang hendak dilaksanakan tidak bertentangan dengan syariat Islam dan mayat-mayat di tanah perkuburan tersebut hendaklah terlebih dahulu dipindahkan ke tapak perkuburan Islam yang lain secara terhormat.

Keterangan/Hujah:
  1. Persoalan hukum dalam melaksanakan pembangunan di atas tanah perkuburan Islam yang tidak digunakan juga berlaku di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Pahang dan Wilayah Persekutuan.
  2. Berdasarkan maslahah yang merupakan salah satu daripada prinsip Islam, pembangunan boleh dilaksanakan dengan syarat mayat dikorek terlebih dahulu dan dipindahkan ke tempat lain secara terhormat.
  3. Pihak pemerintah juga perlu memastikan supaya bentuk atau projek pembangunan yang hendak dilaksanakan tidak berunsur maksiat atau bertentangan dengan syariah.

fatwa dan "KITA"

Hukum Menggunakan Barangan Yang Mempunyai Lambang Agama Lain

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Menggunakan Barangan Yang Mempunyai Lambang Agama Lain . Muzakarah telah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang menggunakan barangan yang mempunyai lambang agama lain seperti salib sekiranya lambang-lambang tersebut dinyatakan secara zahir dan jelas.

fatwa dan "KITA"

Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 - 7 Mei 2008 telah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah. Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keterangan/Hujah:
  1. Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah trinity. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga, tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal usul penulisan Bible. Ini adalah kerana perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.
  2. Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakal Perjanjian Baru ditulis dalam bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh,Elohim dan juga Yhwh.
  3. Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.
  4. Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.
  5. Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaanya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.
  6. Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
  7. Umat Islam perlu tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahwa semua agama adalah sama.
  8. Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God ditejemahkan sebagai Allah.
  9. Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa ini bagi menjaga kesucian agama dan akidah umat Islam.
  10. Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi factor utama adalah berasaskan akidah dan kesucian agama Islam.
  11. Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

fatwa dan "KITA"

Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam. Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis

Keterangan/Hujah:
  1. Pengajaran Yoga berasal-usul daripada kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’. Menurut kitab ini ‘Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman). Tujuan Yoga (nirvana moksha) adalah untuk melepaskan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad.
  2. Tidak wujud yoga menurut agama Islam tetapi yoga wujud di dalam agama Hindu, Buddha, Yahudi dan Kristian.
  3. Maksud istilah yoga sendiri telah menjelaskan bahawa ia mengandungi unsur-unsur Hinduism. Masyarakat Hindu mengamalkan yoga sebagai satu cara untuk mendapatkan ketenangan dan bersatu dengan tuhan-tuhan mereka.
  4. Unsur-unsur pengaruh hindu yang dipromosikan secara halus melalui Trancendental Meditation dalam amalan yoga merupakan mantera agama hindu yang disebarkan untuk kegunaan semua penganut agama.
  5. Agama Islam yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. telah menyediakan berbagai kaedah kerohanian kepada umatnya untuk mencari atau mencapai ketenangan diri dan umat Islam tidak perlu merujuk atau mengikut kepercayaan atau amalan agama lain.
  6. Amalan yoga adalah salah satu dakyah halus yang digunakan untuk mengembangkan pengaruh hindu.
  7. Yoga ini pada awalnya diperkenalkan di negara-negara barat kerana masyarakat sentiasa mengalami stress. Apabila ketenangan dapat dicapai melalui yoga, mereka mendapati produktiviti kerja semakin bertambah baik dan atas dasar ini yoga dianggap antara kaedah terbaik memulihkan kesihatan dan memajukan diri.
  8. Mengandungi unsur-unsur falsafah agama lain dan kesyirikan, adalah haram bagi umat Islam mengamalkannya.
  9. Singapura walaupun hanya mempunyai minoriti umat Islam telah mengharamkan yoga atas dasar mengandungi unsur-unsur syirik yang boleh merosakkan akidah orang Islam.
  10. Adalah wajar umat Islam dilarang daripada melakukan apa jua amalan atau senaman yang mempunyai kaitan dengan unsur syirik atau pemujaan agama lain.

fatwa dan "KITA"

Lilitan Hitam Di Lengan Bagi Umat Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-19 yang bersidang pada 6-7 Oct 1987 telah membincangkan Lilitan Hitam Di Lengan Bagi Umat Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  1. Memandangkan lilitan kain hitam di lengan baju yang berrwarna putih merupakan suatu adat kebudayaan bagi orang kafir, maka kelakuan tersebut hukumnya haram dan dilarang sama sekali kepada umat Islam.
  2. Setiap bentuk pakaian bagi tujuan sosial atau sebagainya yang dipakai oleh orang Islam hendaklah tidak melibatkan unsur-unsur yang khusus dengan adat atau keagamaan bagi agama lain.

Jumaat, 26 November 2010

fatwa dan "KITA"

Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera. Muzakarah telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.
Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.
Walau bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.
Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk Bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.
Keterangan/Hujah:
  1. Terdapat banyak hadith yang mengharamkan serta melarang perbuatan orang yang memahat patung dan menyimpan patung untuk apa-apa tujuan melainkan patung dalam permainan kanak-kanak. Antaranya ialah:
    Maksudnya “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai patung”.
    (Muttafaq ‘Alaih)
    Hadith Riwayat al-Bukhari:
    Daripada Abdullah berkata aku mendengar Nabi S.A.W bersabda : Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung).
  2. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Sharh Sahih Muslim mengatakan bahawa membuat gambar haiwan adalah diharamkan kerana ia termasuk dosa besar kerana meniru ciptaan Allah. Adapun melukis gambar pohon atau sesuatu yang tidak bernyawa dibolehkan. Islam juga mengharamkan umatnya mengukir atau membuat patung walaupun untuk orang kafir.
  3. Dalam menentukan keharusan atau larangan terhadap sesuatu perbuatan, kaedah Saddu az-Zaraiq perlu diambil kira kerana sekiranya pelaksanaannya boleh mendatangkan keburukan atau mudharat yang lebih besar, maka ia wajar dihentikan.
  4. Secara zahirnya pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya adalah sebagai tanda peringatan. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Walau bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan.
  5. Amalan atau perbuatan membina tugu telah diwarisi oleh umat Islam daripada pihak penjajah. Acara-acara seperti bertafakkur, nyanyian, tiupan Rouse dan meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu mengandungi unsur-unsur syirik dan ditegah oleh Islam.
  6. Amalan membina tanda peringatan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, akan berleluasa dan sukar dikawal pada masa akan datang. Satu garis panduan perlu disediakan bagi memastikan hanya tanda peringatan yang tertentu sahaja dibenarkan tanpa sebarang unsur-unsur pembaziran.
  7. Fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu mengenai amalan tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” hendaklah dikekalkan.

fatwa dan "KITA"

Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Ujian saringan HIV kepada setiap pasangan yang hendak berkahwin wajib dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar kepada pasangan dan keturunannya.

2. Usaha bersungguh-sungguh dilakukan ke arah mewujudkan undang-undang induk di semua negeri bagi memperkukuhkan pelaksanaan ujian saringan HIV ini pada masa-masa akan datang.


Keterangan/Hujah:
  1. Walaupun perkahwinan adalah sunnah Rasulullah S.A.W dan amat digalakkan, namun ianya akan bertukar menjadi haram dan dilarang sekiranya kesan yang akan timbul daripada perkahwinan tersebut akan memberikan kemudharatan yang lebih besar. Apabila bertembung kebaikan dan kemudharatan maka menolak kemudharatan itu adalah lebih diutamakan bagi menjamin kelangsungan hidup masyarakat dalam sesebuah negara.
  2. Antara Maqasid Syari’yyah yang lima ialah menjaga keturunan. Menutup sesuatu kemudaratan sebelum berlakunya mudarat tersebut adalah lebih baik daripada mengubatinya. Ia adalah penting bagi memelihara agama dan keturunan.
  3. Muhammad az-Zuhayli mengatakan bahawa adalah harus bagi pemerintah mengeluarkan hukum mewajibkan sesiapa yang hendak berkahwin melakukan ujian HIV.
  4. Ali as-Sabuni berpandangan bahawa pengesahan kesihatan daripada doktor tidak dikira melewatkan perkahwinan, akan tetapi ianya memberi gambaran yang jelas kepada pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga mengenai perkongsian hidupnya pada masa akan datang. Syariat Islam membenarkan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat (ujian saringan kesihatan) kepada individu dan keluarga walaupun tidak dinaskan oleh fuqaha’ ke atasnya secara langsung.

fatwa dan "KITA"

Pembiakan Manusia Dan Pengklonan Tujuan Perubatan Dari Sudut Syarak

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-51 yang bersidang pada 11 Mar 2002 telah membincangkan Pembiakan Manusia Dan Pengklonan Tujuan Perubatan Dari Sudut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah S.W.T.

fatwa dan "KITA"

Penggunaan Ubat Penyakit Jantung Bagi Pesakit-Pesakit Yang Sedang Berpuasa

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Penggunaan Ubat Penyakit Jantung Bagi Pesakit-Pesakit Yang Sedang Berpuasa. Muzakarah telah memutuskan bahawa ubat yang digunakan untuk merawat pesakit jantung yang sedang berpuasa tanpa dimasukkan melalui rongga anggota, tidak membatalkan puasanya dengan syarat diyakini air liurnya tidak masuk melalui rongga.

fatwa dan "KITA"

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.

Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:
  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.

  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

    Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

  3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

  4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    (i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;

    (ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

    (iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

    (vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

    (v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

  5. Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

  6. Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.

  7. Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.

  8. Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

fatwa dan "KITA"

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.
Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.
Keterangan/Hujah:
  1. Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah s.a.w. yang bermaksud:

    Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

  2. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud :

    Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani)

  3. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.
  4. Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.
  5. Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.
  6. Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

fatwa dan "KITA"

Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.

Keterangan/Hujah:
  1. Bulu kambing yang diambil untuk dijadikan vitamin D3 adalah diperolehi dengan cara bercukur atau memotong bulu binatang tersebut ketika ia masih hidup.
  2. Bulu kambing adalah satu-satunya sumber untuk mendapatkan vitamin D3. Sehingga kini belum ditemui sumber yang lain selain kambing biri-biri untuk mendapatkan vitamin D3.
  3. Proses penghasilan vitamin D3 dimulakan daripada pengekstrakan bahan dinamakan lanolin, sejenis bahan berlemak (wax) daripada bulu kambing yang melalui proses pengikisan (scouring process) dengan menggunakan bahan alkali dan pengemparan.
  4. Berdasarkan kepada konsep asas (asal sesuatu iatu adalah harus), penggunaan bulu binatang yang halal yang diambil semasa hidupnya adalah harus selagi ia dihukum suci, bersih disisi syarak dan tidak memudharatkan.
  5. Mengikut fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bulu binatang yang halal dimakan seperti kambing biri-biri, ayam, arnab, dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup, sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya adalah suci.
  6. Berhubung penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan manusia.
  7. Dalam kes D3 ini manfaatnya bukan diambil dari gentian bulu tersebut tetapi dari sejenis lilin yang terdapat pada bulu biri-biri tersebut. Dalam kes seumpama ini juga ulama' menyatakan keharusannya sebagaimana ulamak menyatakan bahawa bulu binatang adalah suci, dan apa yang ada pada lazimnya pada bulu binatang itu juga adalah suci.
  8. Pandangan Jumhur Ulama' adalah jelas bahawa setiap perkara yang jamad adalah suci melainkan terdapat dalil yang jelas tentang pengharamannya.

fatwa dan "KITA"

Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training

Keputusan:
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 16 Jun 2010 telah membincangkan mengenai Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli serta rumusan awal yang telah dibuat pada Muzakarah Khas pada 14 April 2010, Muzakarah berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan diperjelaskan.
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan supaya pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti/perlakuan yang menimbulkan keraguan kepada masyarakat.
  3. Muzakarah juga bersetuju membuat ketetapan bahawa Panel Syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan tersebut hendaklah dilaporkan secara berterusan kepada Muzakarah. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh Panel Syariah yang dilantik oleh ESQ.

Khamis, 18 November 2010

fatwa dan "KITA"

Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid)

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Keterangan/Hujah:
  1. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.
  2. Majoriti ulama' bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki. Maksud menyerupai ini termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.
  3. Apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT dan ikutan yang membuta tuli yang akan mengancam golongan remaja Islam di seluruh dunia.
  4. Gejala pengkid ini telah lama menular di negara-negara barat dan perlakuan hubungan sesama jenis adalah akibat dari gejala ini yang seolah-olah menjadi fenomena biasa.
  5. Walaupun hukum Islam jelas melarang perlakuan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, tetapi kebanyakkan umat Islam tidak memandang serius larang tersebut.
  6. Isu pengkid juga berkaitrapat dengan kedudukan hiburan yang melampau dan pergaulan bebas di kalangan remaja.

fatwa dan "KITA"

Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Ujian saringan HIV kepada setiap pasangan yang hendak berkahwin wajib dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar kepada pasangan dan keturunannya.

2. Usaha bersungguh-sungguh dilakukan ke arah mewujudkan undang-undang induk di semua negeri bagi memperkukuhkan pelaksanaan ujian saringan HIV ini pada masa-masa akan datang.


Keterangan/Hujah:
  1. Walaupun perkahwinan adalah sunnah Rasulullah S.A.W dan amat digalakkan, namun ianya akan bertukar menjadi haram dan dilarang sekiranya kesan yang akan timbul daripada perkahwinan tersebut akan memberikan kemudharatan yang lebih besar. Apabila bertembung kebaikan dan kemudharatan maka menolak kemudharatan itu adalah lebih diutamakan bagi menjamin kelangsungan hidup masyarakat dalam sesebuah negara.
  2. Antara Maqasid Syari’yyah yang lima ialah menjaga keturunan. Menutup sesuatu kemudaratan sebelum berlakunya mudarat tersebut adalah lebih baik daripada mengubatinya. Ia adalah penting bagi memelihara agama dan keturunan.
  3. Muhammad az-Zuhayli mengatakan bahawa adalah harus bagi pemerintah mengeluarkan hukum mewajibkan sesiapa yang hendak berkahwin melakukan ujian HIV.
  4. Ali as-Sabuni berpandangan bahawa pengesahan kesihatan daripada doktor tidak dikira melewatkan perkahwinan, akan tetapi ianya memberi gambaran yang jelas kepada pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga mengenai perkongsian hidupnya pada masa akan datang. Syariat Islam membenarkan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat (ujian saringan kesihatan) kepada individu dan keluarga walaupun tidak dinaskan oleh fuqaha’ ke atasnya secara langsung.

fatwa dan "KITA"

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

fatwa dan "KITA"

Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:
  1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
  2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
  3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
  4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

Ahad, 26 September 2010

Fatwa dan "KITA"

Tuesday, May 11, 2010

Mengangkat Tangan dan Mengaminkan Doa Imam Qunut Subuh- Fatwa Ulama'

Bismillah was solaaatu was salaamu a'la Rasulillah,

Nukilan ini adalah untuk mereka yang berpendapat bahawa membaca doa qunut dalam solat Subuh secara berterusan bukan sunnah Nabi SAW. Sebagaimana pendapat sebahagian ulama salaf seperti Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal dll rahimahumullah.

Permasalahannya disini bukan tentang membaca qunut Subuh itu sendiri, pembahasan ini masyhur dan mudah didapati dimana2 lelaman internet. Ia juga bukan berkaitan dengan hukum mengangkat tangan ketika membaca qunut, hampir tiada khilaf dikalangan masyaikh bahawa Nabi SAW telah mengangkat tangan ketika qunut, begitu juga Umar Ibnul Khattab r.anhu dan diaminkan oleh para sahabat dibelakang.

Mahallun niza'nya adalah : Apakah makmum harus ikut mengangkat tangan dan mengaminkan doa qunut Imam setiap solat Subuh?

Tujuan posting ini adalah mengumpulkan fatwa para ulama yang dianggap imam-imam dan masyaikh mereka2 yang bermanhaj salafus soleh sebagai rujukan.


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rhm


...Dan telah jelas dari apa yang kami sebutkan bahawa qunut itu ketika Nawazil, dan bahawa doanya dalam qunut bukan sesuatu yang khusus, dan tidak berdoa dengan apa yang terlintas dihatinya, bahkan hendaklah dia berdoa dengan doa yang masyru' yang sesuai dengan sebab qunut, sebagaimana dia berdoa ketika istisqa' ( minta hujan ) dia berdoa dengan yang sesuai dengan maksudnya, maka demikian juga jika berdoa minta pertolongan ( keatas musuh ) dia berdoa sesuai dengan maksudnya, seperti juga jika dia berdoa diluar solat untuk sebab itu, maka dia akan berdoa sesuai dengan maksudnya,. Inilah yang terdapat pada sunnah Rasulullah SAW dan sunnah Khulafa' ar-Rasyideen.

Barangsiapa yang berkata ia adalah sebahgian dari Ab'adh solat yang ditutupkan dengan sujud sahwi, maka dia telah mengasaskannya atas alasan bahawa ia adalah sunnat yang disnnatkan secara berterusan, seperti tasyyahud awal dan seumpamanya, dan telah jelas juga bahawa ia bukan demikian, ia bukan sunnah raatibah, tidak disujud (sahwi ) untuknya. Tetapi siapa yang mengi'tkiadkan demikian secara ta'weel maka baginya ta'weelnya, seperti semua masalah ijtihad.

Oleh yang demikian, seyogianya bagi makmum mengikut imamnya didalam perkara yang dibenarkan diijtihadkan, apabila dia qunut, maka qunutlah bersamanya, jika imam tidak qunut maka dia tidak qunut. Kerana Nabi SAW telah bersabda :

إننما جُعل الإمامُ لِيؤتَمَّ به
(( Hanyasanya dijadikan imam itu agar diikuti.)) ( Bukhary : 662 )

Dan beliau bersabda :
فَلا تختلفوا على أئمتكم

(( Jangan kamu bersalahan dengan imam2 kamu )).

Dan telah tsabit dalam as-sahih bahawa beliau bersabda :

يُصَلون لكُم فإن اصابوا فلكم و لهم، و إن أخطؤا فلكم و عليهم

(( Mereka solat untuk kamu ( mengimami ) jika mereka betul, maka bagi kamu ( pahala ) dan bagi mereka, jika mereka salah maka bagi kamu ( pahala ) dan atas mereka ( dosanya ).))

Tidakkah kau lihat jika imam membaca surah selepas Fatehah dua rakaat terakhir dan memanjangkan pula bacaannya lebih dari dua rakaat pertama, kamu tetap wajib mutabaah imam dalam hal demikian?

Adapun mendahului imam maka tidak boleh. Jika imam qunut maka tidak boleh bagi makmum mendahuluinya, tidak boleh tidak mesti mengikutinya, oleh kerana itu apabila Ibnu Masu'd meningkari perbuatan Utsman r.a meyempurnakan solat 4 rakaat di Mina kemudian tetap solat 4 rakaat dibelakang beliau lalu ditanyakan kepada beliau : beliau menjawab : " الخلاف شر " ( Khilaf itu buruk.)

Demikian juga Anas bin Malik r.a bila ditanya tentang waktu melontar jamrah, beliau menjawabnya ( dengan sunnah ) kemudian beliau berkata : " Lakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Imammu ." Wallahu a'lam. ( Majmu' Fatawa : jilid 23 )

Fatwa Lajnah Daaimah

.....Imam Malik rhm telah mensunnatkan qunut dirakaat terakhir solat Subuh sebelum ruku', Imam Syafiey pula berpendapat bahawa qunut itu sunnah selepas ruku', dan yang demikian itu adalah pendapat sekumpulan Salaf dan Khalaf. Ringkasnya, mengkhususkan qunut pada solat Subuh termasuk masail khilafiyyah ijtihadiyyah, barangsiapa solat dibelakang imam yang berqunut Subuh secara khusus samada sebelum atau selepas ruku', maka hendaklah mengikutinya, walaupun yang rajih adalah hanya berqunut didalam solat fardhu bila ada nazilah sahaja.

Abdullah bin Manee', Abdullah bin Ghudayyan, Abdur Razzaq Afeefy

Fatwa Syaikh Ibn Baz rhm

Soalan :

Jika aku tinggal bersama orang-orang yang tidak qunut, kemudian aku pindah tinggal bersama mereka yang berqunut, adakah aku qunut bersama mereka, atau bagaimana kamu nasihatkan aku?

Jawaban :

Jika mereka qunut, maka qunutlah bersama mereka, dan terangkanlah yang sunnah kepada mereka jika engkau mempunyai ilmu, ini disebabkan umum sabda Nabi SAW : (( Hanyasanya dijadikan imam itu agar diikuti, maka jangan kamu menyelisihinya. )), dan mereka mempunyai syubhat; kerana sebahgaian ahlul ilm berkata demikian, mereka berkata : ( sunnah ) terus menerus berqunut dalam solat Subuh. Maka jika mereka berqunut, maka qunutlah bersama mereka, dan ajarkan sunnah kepada mereka jika engkau mengetahui moga2 mereka mengambil faidah darimu.

Soalan :

Jadi qunut dalam solat Subuh tidak mewajibkan khilaf dikalangan muslimin?

Jawab :

Tidak seyogianya khilaf dikalangan muslimin, kerana terdapat syubhat dan disebutkan oleh sebahagian ulama, tetapi meninggalkannyalah afdhal , lebih selamat, lebih rajih; kerana kata Sa'ad bin Toriq al-Asyja'ey r.anhu, : (( Aku bertanya bapaku : Wahai bapaku! Engkau telah solat dibelakang Rasulullah SAW , Abu Bakar, Ustman dan Ali, apakah mereka qunut dalam solat Fajar?


Wahai anakku, ia muhdath ( diada2kan ).))

Maka ini menunjukkan bahawa bukan sunnah mereka berqunut secara berterusan dalam Solat Fajar, tetapi jika ada hajat, jika ada nazilah, musuh, maka mereka berqunut Nazilah dalam solat Subuh dan selainnya. Demikianlah yang dilakukan Rasulullah SAW.

http://www.binbaz.org.sa/mat/15922


Fatwa Syaikh Albany rhm


Soalan

Imam doa qunut, bolehkah makmum mengangkat tangannya ?

Jawaban :

Mesti ( لا بد ) mengikut imam, samada dia betul atau salah, kerana Nabi SAW telah meng"umum"kan apabila baginda bersabda : (( Hanyasanya dijadikan imam itu agar dikuti )) kemudian terdapat beberapa furu' yang menguatkan umum ini. Tiada perlunya sekarang memperincikannya ..


http://www.alalbany.ws/alalbany/audio/325/325_05.rm

Didalam fatwa lain yang panjang, Syaikh Albany rhm telah berkata ( secara ringkasan ):

1) Jika aku solat belakang Syaikh Ibn Baz yg bersedekap lepas ruku' aku akan ikut bersedekap
2) Kalau aku ikut solat belakang Imam Abu Hanifah rhm sendiri atau imam yg mengikut beliau lalu ((sadl )) kan tangannya aku ikut sadl ( ketika intiqal dari rukun kerukun )
3) Kalau imam aku tidak duduk jalsah istirahah, aku pun tidak duduk
4) kalau imam aku bangun rakaat kelima kerana lupa, aku ingatkan, kalau dia terus jugak aku ikut walaupun aku yakin imam aku salah. Aku tak ikut pendapat Ibnu Taimiyah, yg kata jgn ikut imam dlm hal ini.

Hujjahnya ?

Beliau baca hadith :

1) Innama ju'ila al-imam liyu'tamma bihi... yg makruf. diakhirnya,(( jika imam solat duduk kamu duduk.))

Wajhu al-istidlal : kesalahan solat duduk bagi yg mampu berdiri digugurkan semata2 kerana ikut imam, maka haiah solat lain lebih2 lagi.

Ada pembaca yang mungkin tahu bahawa beliau berkata qunut subuh bid'ah, qabd cara Ibn Baz bid'ah, tapi inilah fatwa beliau , syadidu mutabaatil imam. Paling tolerant yg ana pernah jumpa. Mutaba'ah tammah!

Tetapi beliau ada mensyaratkan :-

1) Imam bukan sengaja qunut juga walaupun tahu qunut bukan sunnah, tetapi seorang mujtahid atau mengikut seorang mujtahid. Dalam perbuatan " haiah " solat lain hendaklah Imamnya betul2 mengikut mazhabnya, kalau imam bermazhab Syafiey tidak mengangkat tangan ketika intiqal beliau akan tetap angkat ikut sunnah, kerana imam bersalahan dengan mazhabnya sendiri.

2) Makmum tahu akan perbuatan2 imam. seperti angkat atau tidak angkat tangan, duduk atau tidak duduk istirahah, berdekap lepas ruku' atau tidak dsbg.

http://live1.islamweb.net/Lecturs/malalbane/31998.rm

Fatwa Syaikh Ibn al-Uthaimeen rhm

...Kemudian penanya ini berkata : jika seorang insan menjadi makmum, apakah dia mengikut imam ini lalu mengangkat kedua tangannya dan mengaminkan bersamanya atau lepaskannya kesampingnya, maka jawabnya kami katakan bahkan hendaklah dia mengaminkan doa imam dan mengangkat kedua tangannya kerana mengikut imam dan takut bersalahan.

Sesunguhnya Imam Ahmad rhm yang berpendapat tidak disyariatkan qunut dalam solat Fajar telah me'nas'kan hendaklah seorang makmum mengikut imam yang qunut dalam solat Fajar dan mengaminkan doanya sedangkan beliau tidak berpendapat disyariatkan qunut dalam solat Fajar dalam pendapat masyhur darinya, tetapi beliau rahimahullah telah meringankan dalam mutaba'atul imam yang qunut dalam solat Fajar kerana takut khilaf yang akan mengakibatkan bersamanya khilafnya hati2.

Dan inilah yang datang dari para sahabat r.anhum ..

**Kemudian beliau telah membawa atsar sahabat dan Uthman bin Affan, dimana mereka mengikut Ustman walaupun mereka menganggap solat cara Uthman itu munkar, menyalahi sunnah. Berkata Ibnu Masu'd r.a : al-khilaf syarr.

http://www.ibnothaimeen.com/all/noor/article_3050.shtml

Fatwa Syaikh Abdul Muhsin Al-A'bbaad

" Seseorang mengikuti imam didalam masalah-masalah khilafiyyah ( yang masih diperselisihkan oleh para ulama ) ... Dia harus mengikut imam , dan tidak boleh memisahkan diri atau meninggalkan solat belakang orang yang berqunut. Jika seseorang memandang bahawa amalan itu tidak sejalan (dengan sunnah) atau dia berpendapat bahawa perkara itu bid'ah sedangkan yang lain berpendapat bahawa itu adalah sunnah; dalam kondisi seperti itu dia tidak boleh meninggalkan solat dibelakang orang yang berbeda pendapat dengannya saat dia mengamalkan apa
yang dia ( imam )yakini. ."

14 Contoh Praktek Hikmah Dalam Berdakwah m/s 144


Fatwa Syaikh Rabee' Al-Madkhaly

Jika imam solat dan berunut, qunutlah bersamanya, bersalahannya imam dengan makmum walaupun makmum memandang solat imam tidak sah dlm mazhabnya tetapi ia sah menurut mazhab imam ini, solatlah belakangnya, Rasulullah SAW telah memerintahkan agar solat dibelakangnya sabda beliau : ((Mereka solat untuk kamu, jika mereka betul maka bagi kamu dan bagi mereka jika mereka salah maka bagi kamu dan atas mereka.))

Adalah salaf yakni Khalifah ar-Rashid telah singgah diMadinah untuk menunaikan haji dan berbekam, beliau bertanya Imam Malik : " Aku telah berbekam boleh aku solat dengan tanpa berwudhu?" Jawab Malik : "Solatlah!." Maka beliau pun solat menjadi imam tanpa berwudhu kerana berbekam.

Dalam mazhab Hanafi berbekam membatalkan wudhu, maka ditanya kepada Abu Yusuf ( murid Imam Abu Hanifah ): " Bagaimana kau solat dibelakang Ar-Rasyid sedangkan beliau berbekam dan tidak berwudhu ?" Beliau menjawab : " Subhaanallah, beliau ameerul mu'minin !"

Ibnu Taimiyah mempunyai kata2 : (( Hendaklah engkau solat dibelakang imam walaupun jika engkau khilaf dengannya tentang sesuatu, engkau dapati yang dia laukan batil, solatnya tidak sah, tetapi dia ( imam ) memiliki usul, dalil, padanya solatnya sah, maka solat dibelakangnya walaupun padamu tidak sah. Melainkan engkau yakin dia tidak berwudhu, dia kata kepadamu ; aku tidak berwudhu, aku solat tanpa wudhu!
Maka solatnya batil pada mazhabnya dan mazhabmu. ))

http://www.kulalsalafiyeen.com/vb/showthread.php?t=1023


Fatwa Syaikh Masyhur Al-Salman

Soalan :

Diharapkan perincian tentang mutaba'atul imam

Jawaban :

Masalah mengikut imam adalah masalah yang terdapat perbezaan pendapat, ulama berbeza pendapat tentang makna sabda Nabi SAW : (( hanyasanya dijadikan imam untuk diikuti ))

Yang aku lihat rajih adalah, apabila imam menambah dalam solat, hendaklah makmum meningatkannya, jika imam teruskan juga, hendaklah mereka berdiri bersamanya dan mengikutnnya. Adapun bila imam menyalahi petunjuk Nabi SAW didalam haiah solat, maka kami lebih beruntung dengan sunnah Nabi dari imam ini, dan aku meminjam kata2nya kepada Ali r.anhu yang dikeluarkan An-Nasaiey didalam al-Mujtaba dengan sanad jayyid, kata beliau : (( Apakah kami meninggalkan sunnah Nabi kami kerana perbuatan seorang badwi yang kencing dikakinya? " Maka aku lebih beruntung dengan petunjuk Nabi SAW dari imam ini, dan yang penting adalah mengikut imam yang terbesar : Nabi SAW (( Solatlah seperti kamu melihat aku solat.))

Akan tetapi, jika imam menyalahi petunjuk Nabi SAW lalu menambah contohnya qunut Fajar, maka tidak boleh bagiku menyalahinya, dan aku qunut bersamanya, ini padaku adalah makna sabda Nabi SAW ; (( Mereka solat untuk kamu ... )). Dan inilah fahaman sahabat yang aku faham dalam masalah ini, maka Ibnu Masu'd apabila Uthman solat empat rakaat dalam safar, beliau telah bangun dan berkhutbah, (( Sesungguhnya aku telah solat belakang Nabi dua rakaat, belakang Abu Bakar dua rakaat, belakang Umar dua rakaat, disini aku solat empat rakaat, semoga yang aku dapat dari empat rakaat ini dua rakaat yang diterima, sesungguhnya khilaf itu buruk.)) ...

http://www.almenhaj.net/makal.php?linkid=397

Inilah yang sempat ana kumpulkan, yang diharapkan telah mencapai maksud insya Allah, dimana fatwa-fatwa ini diiringi dalil-dalil salafiyah . Jika ada tambahan atau komen dipersilakan. Bagi para asatizah yang memberi fatwa, atau menjawab soalan perhatikanlah dahulu fatwa-fatwa ini. Ini bukan masalah khilafiyah biasa. Didalamnya terdapat aplikasi qawaid manhaj yang penting. Pada amatan ana yang lemah, ini satu masalah yang perlu dirujuk kepada kibar ulama, sebagaimana yang sering dinasihati oleh masyaikh kita.


Wallahu Waliyyu at-taufiq

Fatwa dan "KITA"

Solat Jumaat kurang 40 orang

Huraian Tajuk/Isu:

Adakah boleh dan sah solat jumaat yang didirikan di Masjid yang penduduk yang bermastautin tidak cukup bilangan 40 orang.

Keputusan:

Walaupun Solat Jumaat telah diadakan di masjid tersebut sejak beberapa lama iaitu dari masa masjid itu dibina, adalah berdasarkan cukup bilangan pemastautin di kawasan itu iaitu kumpulan orang-orang India Muslim. Pada masa ini pemastautin-pemastautin itu telahpun berpindah ketempat lain.

Oleh itu setelah menyiasat keadaan tersebut adlah dicadangkan kepada pihak Majlis Agama Islam supaya mengarahkan diberhentikam sembahyang Jumaat Di Masjid berkenaan dan membuat makluman yang terang di masjid berkenaan serta memberitahu sesiapa yang hendak sembahyang jumaat bolehlah pergi ke masjid-masjid lain yang berdekatan seperti Masjid Simpang Enam, Masjid Jalan Hutton, Masjid Kling, Masjid Melayu dan Lebuh Acheh.

Status Penwartaan:
Tidak Diwartakan
Negeri: