Halaman

Jumaat, 26 November 2010

fatwa dan "KITA"

Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 23 April 2009 telah membincangkan Hukum Pembinaan Monumen Peringatan Bagi Angkatan Tentera. Muzakarah telah memutuskan bahawa Islam menegah umatnya melakukan apa jua perbuatan dan amalan yang mempunyai unsur-unsur syirik dan menyerupai amalan jahiliyah serta berlebihan-lebihan dan membazir.
Oleh itu, Islam mengharamkan perbuatan membina, mengukir atau memahat apa jua bentuk patung sama ada manusia atau haiwan untuk tujuan pemujaan, peringatan atau sebagainya.
Walau bagaimanapun, sekiranya binaan tanda peringatan tersebut hanya mengandungi ukiran nama dan bentuk selain daripada manusia dan haiwan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa ia adalah diharuskan selagi mana tidak berlaku pembaziran dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan akidah seperti unsur-unsur pemujaan dan amalan-amalan lain yang bertentangan dengan syarak.
Acara-acara seperti Majlis Peringatan termasuk Bacaan Doa Selamat, Yasin, Tahlil dan sebagainya tidak boleh dilakukan di hadapan binaan peringatan tersebut dan hendaklah dilakukan di tempat berasingan seperti masjid atau bangunan lain semasa meraikan hari perayaan yang berkaitan.
Keterangan/Hujah:
  1. Terdapat banyak hadith yang mengharamkan serta melarang perbuatan orang yang memahat patung dan menyimpan patung untuk apa-apa tujuan melainkan patung dalam permainan kanak-kanak. Antaranya ialah:
    Maksudnya “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai patung”.
    (Muttafaq ‘Alaih)
    Hadith Riwayat al-Bukhari:
    Daripada Abdullah berkata aku mendengar Nabi S.A.W bersabda : Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung).
  2. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Sharh Sahih Muslim mengatakan bahawa membuat gambar haiwan adalah diharamkan kerana ia termasuk dosa besar kerana meniru ciptaan Allah. Adapun melukis gambar pohon atau sesuatu yang tidak bernyawa dibolehkan. Islam juga mengharamkan umatnya mengukir atau membuat patung walaupun untuk orang kafir.
  3. Dalam menentukan keharusan atau larangan terhadap sesuatu perbuatan, kaedah Saddu az-Zaraiq perlu diambil kira kerana sekiranya pelaksanaannya boleh mendatangkan keburukan atau mudharat yang lebih besar, maka ia wajar dihentikan.
  4. Secara zahirnya pembinaan apa jua bentuk binaan sama ada monumen, tugu atau sebagainya adalah sebagai tanda peringatan. Amalan ini jelas ditegah oleh Islam sekiranya binaan tersebut merupakan ukiran patung manusia atau haiwan. Apa jua bentuk binaan atau ukiran, jika ia bertujuan untuk diagung-agungkan dan bersifat membazir, ia amat ditegah oleh Islam. Walau bagaimanapun, jika ia hanya sekadar binaan biasa atau ukiran nama-nama sebagai tanda kenangan sejarah dan tidak berlebih-lebihan, maka ia tiada halangan.
  5. Amalan atau perbuatan membina tugu telah diwarisi oleh umat Islam daripada pihak penjajah. Acara-acara seperti bertafakkur, nyanyian, tiupan Rouse dan meletakkan kalungan bunga di hadapan tugu mengandungi unsur-unsur syirik dan ditegah oleh Islam.
  6. Amalan membina tanda peringatan sekiranya dibiarkan tanpa kawalan dan panduan, akan berleluasa dan sukar dikawal pada masa akan datang. Satu garis panduan perlu disediakan bagi memastikan hanya tanda peringatan yang tertentu sahaja dibenarkan tanpa sebarang unsur-unsur pembaziran.
  7. Fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan sebelum ini iaitu mengenai amalan tiupan “Last Post”, bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan “Rouse” hendaklah dikekalkan.

fatwa dan "KITA"

Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Ujian saringan HIV kepada setiap pasangan yang hendak berkahwin wajib dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar kepada pasangan dan keturunannya.

2. Usaha bersungguh-sungguh dilakukan ke arah mewujudkan undang-undang induk di semua negeri bagi memperkukuhkan pelaksanaan ujian saringan HIV ini pada masa-masa akan datang.


Keterangan/Hujah:
  1. Walaupun perkahwinan adalah sunnah Rasulullah S.A.W dan amat digalakkan, namun ianya akan bertukar menjadi haram dan dilarang sekiranya kesan yang akan timbul daripada perkahwinan tersebut akan memberikan kemudharatan yang lebih besar. Apabila bertembung kebaikan dan kemudharatan maka menolak kemudharatan itu adalah lebih diutamakan bagi menjamin kelangsungan hidup masyarakat dalam sesebuah negara.
  2. Antara Maqasid Syari’yyah yang lima ialah menjaga keturunan. Menutup sesuatu kemudaratan sebelum berlakunya mudarat tersebut adalah lebih baik daripada mengubatinya. Ia adalah penting bagi memelihara agama dan keturunan.
  3. Muhammad az-Zuhayli mengatakan bahawa adalah harus bagi pemerintah mengeluarkan hukum mewajibkan sesiapa yang hendak berkahwin melakukan ujian HIV.
  4. Ali as-Sabuni berpandangan bahawa pengesahan kesihatan daripada doktor tidak dikira melewatkan perkahwinan, akan tetapi ianya memberi gambaran yang jelas kepada pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga mengenai perkongsian hidupnya pada masa akan datang. Syariat Islam membenarkan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat (ujian saringan kesihatan) kepada individu dan keluarga walaupun tidak dinaskan oleh fuqaha’ ke atasnya secara langsung.

fatwa dan "KITA"

Pembiakan Manusia Dan Pengklonan Tujuan Perubatan Dari Sudut Syarak

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-51 yang bersidang pada 11 Mar 2002 telah membincangkan Pembiakan Manusia Dan Pengklonan Tujuan Perubatan Dari Sudut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa pengklonan manusia untuk apa-apa tujuan sekalipun adalah haram kerana ianya bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang ditentukan oleh Allah S.W.T.

fatwa dan "KITA"

Penggunaan Ubat Penyakit Jantung Bagi Pesakit-Pesakit Yang Sedang Berpuasa

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11-12 April 1984 telah membincangkan Penggunaan Ubat Penyakit Jantung Bagi Pesakit-Pesakit Yang Sedang Berpuasa. Muzakarah telah memutuskan bahawa ubat yang digunakan untuk merawat pesakit jantung yang sedang berpuasa tanpa dimasukkan melalui rongga anggota, tidak membatalkan puasanya dengan syarat diyakini air liurnya tidak masuk melalui rongga.

fatwa dan "KITA"

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.

Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:
  1. Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.

  2. Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

    Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.

  3. Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

  4. Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    (i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;

    (ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

    (iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

    (vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

    (v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.

  5. Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

  6. Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.

  7. Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.

  8. Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.

fatwa dan "KITA"

Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang pada 21 – 24 April 2009 telah membincangkan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada jika tidak mendatangkan sebarang kemudharatan.
Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudharatan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.
Keterangan/Hujah:
  1. Hukum tatu adalah jelas dilarang dalam Islam. Ini berdasarkan kepada Hadith Rasululllah s.a.w. yang bermaksud:

    Daripada Ibnu Umar R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)

  2. Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam mengatakan bahawa bertatu di badan adalah perbuatan yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya bermaksud :

    Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya”. (Riwayat al-Thabrani)

  3. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj fi Sharh Sahih Muslim menyatakan bahawa hukum bertatu adalah haram kerana perkataan laknat dalam hadith Rasulullah S.A.W. menunjukkan pengharaman perbuatan tersebut. Di samping itu juga, tempat yang ditatu tersebut akan menjadi najis.
  4. Islam tidak memberatkan umatnya. Kaedah yang digunakan iaitu sekiranya sesuatu yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya dan mudharat pada diri, maka ia perlu dielakkkan. Kaedah ini juga terpakai bagi seorang muslim yang bertatu dan telah bertaubat daripada perbuatan tersebut.
  5. Banyak cara diperkenalkan untuk menghilangkan tatu dan orang yang memakai tatu perlu berusaha untuk menghilangkannya dan menggunakan cara yang tidak membahayakan diri dan nyawa mereka.
  6. Mereka yang bertatu tetapi telah menyesal dan bertaubat dari perbuatan tersebut tetapi tidak boleh menghilangkannya dengan cara yang selamat, boleh melakukan ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain.

fatwa dan "KITA"

Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.

Keterangan/Hujah:
  1. Bulu kambing yang diambil untuk dijadikan vitamin D3 adalah diperolehi dengan cara bercukur atau memotong bulu binatang tersebut ketika ia masih hidup.
  2. Bulu kambing adalah satu-satunya sumber untuk mendapatkan vitamin D3. Sehingga kini belum ditemui sumber yang lain selain kambing biri-biri untuk mendapatkan vitamin D3.
  3. Proses penghasilan vitamin D3 dimulakan daripada pengekstrakan bahan dinamakan lanolin, sejenis bahan berlemak (wax) daripada bulu kambing yang melalui proses pengikisan (scouring process) dengan menggunakan bahan alkali dan pengemparan.
  4. Berdasarkan kepada konsep asas (asal sesuatu iatu adalah harus), penggunaan bulu binatang yang halal yang diambil semasa hidupnya adalah harus selagi ia dihukum suci, bersih disisi syarak dan tidak memudharatkan.
  5. Mengikut fatwa Mufti Kerajaan Brunei Bulu binatang yang halal dimakan seperti kambing biri-biri, ayam, arnab, dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup, sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya adalah suci.
  6. Berhubung penggunaan bulu daripada binatang yang halal untuk dijadikan sebagai bahan ramuan makanan atau untuk kegunaan yang lain, para fuqaha' bersepakat bahawa adalah jelas tentang halalnya penggunaan bulu sebagaimana yang disebut oleh Dr. Wahbah Zuhaili bahawa ijma' ulama' bersetuju tentang kesucian bulu yang diambil dari binatang yang halal dimakan dagingnya sama ada diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya. Ijmak ulamak ini adalah berdasarkan kepada umum ayat Al-Quran Surah An-Nahl, ayat 80 tentang kesucian bulu binatang sama ada ianya diambil selepas disembelih atau semasa hidupnya untuk kegunaan manusia.
  7. Dalam kes D3 ini manfaatnya bukan diambil dari gentian bulu tersebut tetapi dari sejenis lilin yang terdapat pada bulu biri-biri tersebut. Dalam kes seumpama ini juga ulama' menyatakan keharusannya sebagaimana ulamak menyatakan bahawa bulu binatang adalah suci, dan apa yang ada pada lazimnya pada bulu binatang itu juga adalah suci.
  8. Pandangan Jumhur Ulama' adalah jelas bahawa setiap perkara yang jamad adalah suci melainkan terdapat dalil yang jelas tentang pengharamannya.

fatwa dan "KITA"

Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training

Keputusan:
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 16 Jun 2010 telah membincangkan mengenai Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli serta rumusan awal yang telah dibuat pada Muzakarah Khas pada 14 April 2010, Muzakarah berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan diperjelaskan.
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan supaya pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti/perlakuan yang menimbulkan keraguan kepada masyarakat.
  3. Muzakarah juga bersetuju membuat ketetapan bahawa Panel Syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan tersebut hendaklah dilaporkan secara berterusan kepada Muzakarah. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh Panel Syariah yang dilantik oleh ESQ.

Khamis, 18 November 2010

fatwa dan "KITA"

Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid)

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Keterangan/Hujah:
  1. Pengkid cenderung untuk menjalinkan hubungan intim dengan wanita kerana daripada segi perasaan, nyata mereka amat berminat terhadap wanita sehingga tidak ada langsung perasaan dan keinginan terhadap lelaki.
  2. Majoriti ulama' bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan lelaki menyerupai wanita atau wanita menyerupai lelaki. Maksud menyerupai ini termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.
  3. Apa yang berlaku pada hari ini ialah situasi yang berlawanan dengan fitrah yang telah diciptakan oleh Allah SWT dan ikutan yang membuta tuli yang akan mengancam golongan remaja Islam di seluruh dunia.
  4. Gejala pengkid ini telah lama menular di negara-negara barat dan perlakuan hubungan sesama jenis adalah akibat dari gejala ini yang seolah-olah menjadi fenomena biasa.
  5. Walaupun hukum Islam jelas melarang perlakuan wanita menyerupai lelaki atau lelaki menyerupai wanita, tetapi kebanyakkan umat Islam tidak memandang serius larang tersebut.
  6. Isu pengkid juga berkaitrapat dengan kedudukan hiburan yang melampau dan pergaulan bebas di kalangan remaja.

fatwa dan "KITA"

Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Kewajaran Mewajibkan Pelaksanaan Ujian Saringan HIV Kepada Bakal Pengantin. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Ujian saringan HIV kepada setiap pasangan yang hendak berkahwin wajib dilaksanakan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan mudarat yang lebih besar kepada pasangan dan keturunannya.

2. Usaha bersungguh-sungguh dilakukan ke arah mewujudkan undang-undang induk di semua negeri bagi memperkukuhkan pelaksanaan ujian saringan HIV ini pada masa-masa akan datang.


Keterangan/Hujah:
  1. Walaupun perkahwinan adalah sunnah Rasulullah S.A.W dan amat digalakkan, namun ianya akan bertukar menjadi haram dan dilarang sekiranya kesan yang akan timbul daripada perkahwinan tersebut akan memberikan kemudharatan yang lebih besar. Apabila bertembung kebaikan dan kemudharatan maka menolak kemudharatan itu adalah lebih diutamakan bagi menjamin kelangsungan hidup masyarakat dalam sesebuah negara.
  2. Antara Maqasid Syari’yyah yang lima ialah menjaga keturunan. Menutup sesuatu kemudaratan sebelum berlakunya mudarat tersebut adalah lebih baik daripada mengubatinya. Ia adalah penting bagi memelihara agama dan keturunan.
  3. Muhammad az-Zuhayli mengatakan bahawa adalah harus bagi pemerintah mengeluarkan hukum mewajibkan sesiapa yang hendak berkahwin melakukan ujian HIV.
  4. Ali as-Sabuni berpandangan bahawa pengesahan kesihatan daripada doktor tidak dikira melewatkan perkahwinan, akan tetapi ianya memberi gambaran yang jelas kepada pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga mengenai perkongsian hidupnya pada masa akan datang. Syariat Islam membenarkan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat (ujian saringan kesihatan) kepada individu dan keluarga walaupun tidak dinaskan oleh fuqaha’ ke atasnya secara langsung.

fatwa dan "KITA"

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

fatwa dan "KITA"

Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:
  1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
  2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
  3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
  4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.