Halaman

Khamis, 2 Disember 2010

fatwa dan "KITA"

Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Kedudukan Senaman Yoga Di Kalangan Umat Islam. Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim.

Seperti yang sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

(1) kepercayaan atau keyakinan di hati.
(2) menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
(3) perbuatan.

Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis

Keterangan/Hujah:
  1. Pengajaran Yoga berasal-usul daripada kitab suci agama Hindu ‘Bhagavad Gita’. Menurut kitab ini ‘Yoga’ memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman). Tujuan Yoga (nirvana moksha) adalah untuk melepaskan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad.
  2. Tidak wujud yoga menurut agama Islam tetapi yoga wujud di dalam agama Hindu, Buddha, Yahudi dan Kristian.
  3. Maksud istilah yoga sendiri telah menjelaskan bahawa ia mengandungi unsur-unsur Hinduism. Masyarakat Hindu mengamalkan yoga sebagai satu cara untuk mendapatkan ketenangan dan bersatu dengan tuhan-tuhan mereka.
  4. Unsur-unsur pengaruh hindu yang dipromosikan secara halus melalui Trancendental Meditation dalam amalan yoga merupakan mantera agama hindu yang disebarkan untuk kegunaan semua penganut agama.
  5. Agama Islam yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. telah menyediakan berbagai kaedah kerohanian kepada umatnya untuk mencari atau mencapai ketenangan diri dan umat Islam tidak perlu merujuk atau mengikut kepercayaan atau amalan agama lain.
  6. Amalan yoga adalah salah satu dakyah halus yang digunakan untuk mengembangkan pengaruh hindu.
  7. Yoga ini pada awalnya diperkenalkan di negara-negara barat kerana masyarakat sentiasa mengalami stress. Apabila ketenangan dapat dicapai melalui yoga, mereka mendapati produktiviti kerja semakin bertambah baik dan atas dasar ini yoga dianggap antara kaedah terbaik memulihkan kesihatan dan memajukan diri.
  8. Mengandungi unsur-unsur falsafah agama lain dan kesyirikan, adalah haram bagi umat Islam mengamalkannya.
  9. Singapura walaupun hanya mempunyai minoriti umat Islam telah mengharamkan yoga atas dasar mengandungi unsur-unsur syirik yang boleh merosakkan akidah orang Islam.
  10. Adalah wajar umat Islam dilarang daripada melakukan apa jua amalan atau senaman yang mempunyai kaitan dengan unsur syirik atau pemujaan agama lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan